TENTANG MODUL
Kandungan modul ini ditulis berdasarkan Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran yang terdapat dalam kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Sains Tahun 5 SK. Penulisan modul ini menitikberatkan penguasaan pengetahuan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Penulisan modul ini adalah untuk merangsang dan menarik minat murid untuk terus menghayati mata pelajaran sains sama ada di dalam kelas atau pembelajaran kendiri.
Bagi memastikan matlamat dan objektif KSSR mata pelajaran sains tercapai, elemen merentasi kurikulum yang sedia ada ditambah dengan elemen kreativiti dan inovasi, teknologi maklumat dan komunikasi (TMK), kaedah pembelajaran abad 21 serta KBAT. Selain itu, nilai murni dan sikap positif serta budaya kerja berpasukan diterapkan dalam modul ini.
Strategi pengajaran dan pembelajaran dalam KSSR bagi mata pelajaran Sains mengutamakan pembelajaran berfikrah iaitu penekanan kepada pemerolehan dan penguasaan kemahiran serta ilmu pengetahuan murid ke tahap yang optimum. Di samping itu, pengetahuan sains dan teknologi yang dipelajari disesuaikan dan diaplikasikan dalam kehidupan, masyarakat dan alam sekitar. Bagi menimbulkan minat dan keseronokan murid, modul ini juga mengandungi unsur didik hibur yang digabungjalinkan dengan kandungan pembelajaran.
Akhir kata, diharap modul ini dapat mencetuskan idea kepada guru untuk meningkatkan keberkesanan penyampaian pengajaran. Pada masa yang sama, murid juga teruja apabila mengikuti pembelajaran yang menggunakan modul ini.