PENGENALAN

 

Menghasilkan papan litar bersiri dan litar selari yang dilakukan apabila murid menyelesaikan topik Elektrik dalam Kurikulum Sains Tahun 5. Aktiviti ini adalah berasaskan pembelajaran berasaskan masalah (PBL). Murid didedahkan dengan isu tenaga elektrik untuk diselesaikan dengan menghasilkan sesuatu produk. Murid mengaplikasikan pengetahuan untuk menghasilkan sesuatu produk yang boleh memberi manfaat kepada orang lain dan pada masa yang sama dapat menerapkan sikap saintifik dan nilai murni dalam menghargai alam sekitar. Masa yang dicadangkan untuk menjalankan aktiviti ini ialah 6 waktu. Ia bergantung kepada kreativiti dan fleksibiliti guru terhadap situasi sekolah, murid dan faktor lain.

 

         Panduan pelaksanaan untuk aktiviti ini telah pun diterangkan dalam bab sebelum ini. Adalah penting bagi guru memahami proses pengajaran dan pemudah cara (PdPc) ini bagi memastikan aktiviti dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan. Oleh itu, guru perlu menyediakan bahan, peralatan, ruang kerja, tempoh, bahan rangsangan, paparan video, dan kos untuk aktiviti ini. Adalah lebih berfaedah sekiranya guru dapat menggalakkan murid menghasilkan produk mesra alam pada kos yang minimum. Berikut ialah cadangan langkah-langkah untuk menjalankan aktiviti ini.